SELANGOR

SPM peluang remaja buka ‘pintu’ dunia, ubah nasib – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANGI, 20 OKT: Keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang baik dan cemerlang adalah diantara penentu hala tuju remaja untuk mengubah nasib keluarga, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

“SPM juga adalah ‘pintu’ penting untuk melakukan perubahan dan sepatutnya anda merebut peluang ini, pergilah menuntut ilmu di universiti-universiti luar negara, bukan di Malaysia sahaja.

“Tidak dinafikan gagal SPM bukanlah gagal semuanya, namun ini adalah batu lonjakan buat calon SPM untuk menerokai ilmu lebih luas sekali gus cemerlang dalam pelbagai lapisan bidang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Program RHB Excel dan RHB Money Master anjuran kumpulan perbankan RHB di Kompleks RHB, Bangi, hari ini.

Amirudin turut berkesempatan berkongsi kisahnya ketika di zaman persekolahan kepada calon peperiksaan SPM 2018.

“Filem yang saya amat gemari ketika zaman persekolahan ialah Dead Poets Society yang dibintangi Robin Williams, filem itu berkisar tentang suntikan inspirasi buat pelajar, dan banyak saya belajar daripadanya.

“Pada zaman persekolahan saya berada dalam aliran sains namun ketika melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, saya mendalami jurusan sains sosial, ia satu perubahan yang agak ketara.

“Namun saya yakin dalam apa sahaja bidang yang kita ceburi, untuk berjaya bukan apa yang kita baca, bukan apa yang diajar, namun ia bergantung kepada sikap seseorang, begitu juga anda, cabarlah diri untuk menjadi insan yang berjaya,” katanya.


Pengarang :