Selangorkini
NASIONAL

SPR beri amaran jangan guna bahan kempen

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 13 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memberi amaran kepada parti politik tidak lagi menggunakan barang kempen pada hari pengundian.

Pengerusinya, Azhar Azizan@Harun berkata, hal itu kerana beliau menerima aduan terdapat dua parti politik yang berbuat demikian.

“Saya dimaklumkan terdapat dua parti politik letak khemah yang dipenuhi bendera mereka di depan pusat-pusat mengundi.

“Ini dilarang kerana waktu kempen sudah tamat. Jika nak letak pun, letak jauh sikit, sekurang-kurangnya 50 meter dari pusat mengundi,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pemberita di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Port Dickson hari ini.

Pada masa sama, Azhar berharap pengundi di kawasan berkenaan dapat menunaikan tanggungjawab seawal yang mungkin memandangkan cuaca baik setakat ini.

Seramai 68,317 orang akan mengundi hari ini daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar iaitu sebanyak 75,770 orang.

Ini melibatkan lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Linggi, Bagan Pinang, Sri Tanjung, Chuah dan Lukut, merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (2 peratus).

Kerusi Parlimen Port Dickson ini dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi memberi laluan kepada Anwar.


Pengarang :