NASIONAL

SPR: Timbalan Pengerusi, 4 ahli pendekkan tempoh perkhidmatan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood bersama empat ahli suruhanjaya akan memendekkan tempoh perkhidmatan, berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Pengerusinys, Azhar Azizan Harun dalam kenyataan berkata, perkara itu dilakukan selaras Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan selepas mengadakan perbincangan, pada Isnin lalu.

“Keputusan memendekkan tempoh perkhidmatan ini dicapai dan dipersetujui mereka yang berkenaan dalam satu perbincangan yang diadakan pada 15 Oktober lalu, iaitu sebelum berita berkenaan penubuhan tribunal khas disiarkan media, semalam.

“Ahli suruhanjaya dimaksudkan adalah Datuk Md Yusop Mansur, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi dan Datuk Leo Chong Cheong. Bagaimanapun, Dato’ Bala Singam A/L Karupiah masih meneruskan perkhidmatan beliau,” katanya.

Beliau berkata, surat bagi memohon perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk tujuan pemendekan perkhidmatan itu sudah dikemukakan kepada Istana Negara, pada hari ini.


Pengarang :