NASIONAL

SST: Selaras harga barang mulai 15 November

PUTRAJAYA, 18 OKT: Semua pasar raya besar dan kedai runcit berangkai di seluruh negara perlu menyelaras harga baharu bagi semua jenis barangan mengikut sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), bermula 15 November ini.

Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, kedua perusahaan itu diberi kelonggaran lebih dua bulan kerana terdapat masalah sistem penyelarasan harga berbeza.

“Ada kedai, stok lama mereka sudah habis dan ada beberapa kedai lagi masih mempunyai stok lama itu, justeru timbul persoalan adakah mereka boleh mengenakan harga baharu.

“Kedua premis ini mempunyai sistem harga yang mempamerkan harga sama bagi semua barangan, di seluruh negara yang ditetapkan di peringkat ibu pejabat.

“Jadi, mereka menulis surat kepada kementerian dan kami melakukan kajian sebelum memberikan kelonggaran ini,” katanya pada sidang media berhubung penguat kuasaan anti-pencatutan di bawah Operasi Catut 5.0, hari ini, lapor BERNAMA.

Katanya, kadar cukai jualan yang dikenakan tidak sama bagi semua barangan terdiri daripada 0 peratus, 5 peratus dan 10 peratus, manakala kadar cukai perkhidmatan adalah 6 peratus.

Berhubung Operasi Catut 5.0, Mohd Roslan berkata, pihaknya mengeluarkan empat kertas siasatan ke atas empat perniagaan yang dikenal pasti gagal mengikut sistem SST dan menunggu tindakan selanjutnya daripada Jabatan Peguam Negara.

“Sehingga hari ini, sebanyak 20,259 premis diperiksa membabitkan 490,328 barangan dalam operasi fasa 2 dengan pemeriksaan pencatutan ke atas setiap rantaian perniagaan di seluruh negara menerusi kerjasama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia.

“Sebanyak 166 notis dikeluarkan di bawah seksyen 21 (2) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 bagi melihat pematuhan peniaga terhadap perundangan dan 1,826 notis di bawah seksyen 53A AKHAP 2011 untuk peniaga menyenggara serta menyimpan rekod perniagaan,” katanya.


Pengarang :