SUKANKINI

Sukan Para Asia: Lepas sasaran 15 emas, MB bangga kehebatan atlet

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 14 OKT: Kejayaan kontinjen negara melepasi sasaran 15 pingat emas pada temasya Sukan Para Asia di Jakarta ternyata menarik perhatian Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Amirudin Shari menerusi coretan di Twitter mengucapkan tahniah dan syabas atas kesungguhan serta kehebatan luar biasa yang ditunjukkan atlet negara dalam sukan dwi-tahunan itu.

“Tahniah kepada kontinjen Malaysia di Sukan Para Asian 2018.

“Seperti tagline mereka #KamiLuarBiasa , ternyata kehebatan dan kesungguhan mereka memang luar biasa.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya berbangga dengan kejayaan mereka mengharumkan nama negara di persada dunia. Syabas !!!,” tulisnya.

Sukan Para Asia 2018 ditutup penuh malam tadi selepas lapan hari menampilkan aksi luar biasa atlet paralimpik dari 43 negara peserta.

China muncul juara keseluruhan dengan meraih 171 emasc 88 perak dan 59 gangsa, manakala tuan rumah Indonesia menghuni kedudukan kelima selepas melepasi sasaran 16 pingat emas dengan meraih 37 emas, 47 perak serta 51 gangsa.

Malaysia yang menghantar 110 atlet lelaki dan 29 wanita menyertai 15 daripada 18 jenis sukan dipertandingkan dengan menawarkan 568 pingat emas

Di kedudukan kelapan, Malaysia mengumpul 17 emas, 26 perak dan 24 gangsa dalam temasya yang dirasmikan Presiden Indonesia, Joko Widodo pada 6 Oktober lalu.

Jumlah pungutan pingat itu sekali gus memperbaiki pencapaian kontinjen negara pada Sukan Para Asia Incheon, Korea Selatan, empat tahun lalu.

Lebih manis, dua jaguh para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly mempamerkan aksi bergaya untuk memecah rekod dunia.

Mohamad Ridzuan yang bertanding dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy) memadam rekod lama atlet Rusia, Evgenii Shvetcov pada Kejohanan Paralimpik Dunia IPC 2013, di Lyon Perancis.

Sementara itu, Abdul Latif pula memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri dalam acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) yang sebelum ini dilakukannya ketika Sukan Paralimpik Rio 2016, di Brazil.

Hangzhou, China akan menjadi tuan rumah Sukan Para Asia pada 2023.

 


Pengarang :