BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor berkenan berangkat pengebumian Allahyarham Hassan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan hadir ke pengebumian jenazah pengajar rancangan Muqaddam yang popular sekitar awal 1970-an, Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 9.40 pagi tadi di Makam DiRaja, Shah Alam.

Hadir mengiringi Baginda, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Kira-kira 300 keluarga dan kenalan serta anak muridnya hadir ke majlis pengebumian itu dan Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut kelihatan di Masjid Negeri.

Terdahulu, Allahyarham disolatkan di Masjid Negeri yang diimamkan anaknya, Prof Madya Dr Rauf.

Allahyarham sebelum itu meninggal dunia pada pukul 5.07 petang semalam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana menghidap kanser limfoma tahap empat.

Allahyarham dimasukkan ke HKL Ahad lalu selepas disahkan menghidap penyakit itu.

Allahyarham Hassan, 90, menjadi pengajar rancangan Muqaddam selama lapan tahun di saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1970-an.

Tokoh Maal Hijrah 2002 itu juga pernah melaungkan azan semasa menyambut kemerdekaan negara di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Allahyarham juga merupakan hakim pertandingan Tilawah al-Quran paling lama berkhidmat dalam negara selama 46 tahun.

Allahyarham juga merupakan bapa kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan pelakon terkenal tanah air, Datuk Jalaluddin Hassan serta Bekas Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Dato’ Fuad Hassan.


Pengarang :