SELANGOR

Sultan Selangor ucap takziah keluarga anggota bomba

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 5 OKT: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan keluarga enam anggota Bomba Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang terkorban ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat di Taman Putra Perdana, Puchong, di sini.

Turut menzahirkan ucapan takziah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor ingin menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada balu-balu dan keluarga enam anggota Bomba yang terkorban ketika menjalankan tugas semasa operasi mencari dan menyelamat di Puchong, Selangor.

“Beta berharap agar waris dan ahli keluarga redha dan tabah menerima ketentuan ini.

“Sesungguhnya pengorbanan wira-wira ini adalah sesuatu yang amat mulia di sisi agama, bangsa dan negara.

“Bagi meringankan beban, Lembaga Zakat Selangor akan turut menyerahkan sumbangan kepada balu, anak dan keluarga mangsa,” titah baginda.

Titah ucapan takziah Sultan Sharafuddin itu dikeluarkan Selangor Royal Office, di sini, hari ini.

Pada 3 Oktober lalu, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, enam anggota bomba terbabit terkorban ketika giat menjalankan usaha mencari dan menyelamat seorang remaja yang dipercayai tergelincir ketika sedang memancing di kawasan lombong berkenaan.

Kejadian terbabit dipercayai berpunca daripada pusaran air deras yang terjadi susulan hujan lebat sejak petang semalam sehinga menyebabkan tali dipasang mereka terbelit antara satu sama lain di dasar lombong.

Empat daripada mangsa terkorban termasuk anggota BBP Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Manakala dua lagi anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.


Pengarang :