SELANGOR

Sultan Selangor zahir ucapan takziah Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 7 OKT: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ucapan takziah kepada waris dan keluarga Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari yang kembali ke Rahmatullah, semalam.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Tengku Permaisuri, Tengku Permaisuri Norashikin.

“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor ingin mengucapkan takziah kepada waris dan keluarga Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari yang telah kembali ke Rahmatullah pada 6 Oktober 2018.

“Secara peribadi, Beta berasa amat sedih kerana sesungguhnya pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat Beta.

“Allahyarham pernah menjadi guru agama Beta, serta amat rapat dengan Almarhum Paduka Ayahanda dan Almarhum Paduka Nenda Beta,” titah baginda.

Titah ucapan takziah Sultan Sharafuddin itu dikeluarkan Selangor Royal Office, menerusi Facebook, hari ini.

Baginda bertitah, Allahyarham juga sering mengiringi baginda dan kerabat ke Mekah untuk menunaikan Haji dan Umrah, di samping kerap menyampaikan ceramah dan mengajar ilmu agama di Istana.

“Semoga roh Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari ditempatkan bersama para solihin,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke majlis pengebumian jenazah pengajar rancangan Muqaddam yang popular sekitar awal 1970-an itu, di Makam Diraja Shah Alam, di sini, pagi ini.

Hadir sama pada majlis pengebumian itu, Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah Alhaj danTengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah Alhaj.

Turut mengiringi Baginda, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 9.40 pagi tadi di Makam DiRaja, Shah Alam.

Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Negeri yang diimamkan anaknya, Prof Madya Dr Rauf dan selamat disemadikan jam 9.40 pagi tadi.

Allahyarham meninggal dunia jam 5.07 petang semalam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat menderita kanser limfoma tahap empat.


Pengarang :