BERITA UTAMASELANGOR

Sumbangan RM20,000 waris mangsa kurangkan beban, hargai pengorbanan

 

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 4 OKT: Kerajaan Negeri komited untuk menyalurkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada setiap keluarga mangsa anggota bomba yang terbabit dalam kejadian mati lemas, di Taman Putra Puchong, malam tadi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sumbangan itu diputuskan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negeri yang juga badan kedua selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Katanya, sumbangan berkenaan juga adalah daripada Tabung Wira dan Pahlawan hasil simpanan serta Tabung Kerajaan Negeri.

“Jadi diharapkan sumbangan yang kita berikan nanti setelah selesai urusan jenazah akan dapat mengurangkan bebanan dan kesedihan keluarga mangsa, sekaligus sebagai tanda penghargaan daripada pihak Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat keenam jenazah terbabit, di Balai Bomba Seksyen 15, di sini, pagi ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pihaknya sudah mengarahkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) untuk meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan kejadian.

Malah katanya, jika terdapat keperluan, laluan dan jambatan di kawasan terbabit akan ditutup serta merta bagi mengelakkan risiko kejadian sama berulang

“Bagaimanapun, operasi menyelamat masih lagi dijalankan di kawasan terbabit dan saya baru mendapat laporan di lokasi kejadian itu, ia bukan kali pertama tragedi sebegini berlaku.

“Daripada maklumat dimaklumkan, jambatan dan jeti yang ada itu adalah jeti untuk menaiktaraf serta menambahbaik kawasan tadahan air tersebut oleh Jabatan Pengairan dan Saliran

“Ia sebaliknya bukan spesifik untuk memancing atau aktiviti lain,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam tadi, enam anggota bomba dari Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Selangor terkorban ketika giat menjalankan usaha mencari dan menyelamat seorang remaja yang dilaporkan tergelincir ketika sedang memancing di kawasan lombong berkenaan.

Kejadian terbabit dipercayai berpunca daripada pusaran air deras yang terjadi susulan hujan lebat sejak petang semalam sehinga menyebabkan tali dipasang mereka terbelit antara satu sama lain di dasar lombong.

Empat daripada mangsa terkorban termasuk anggota BBP Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Manakala dua lagi anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.


Pengarang :