SELANGOR

Sungai Klang jana sumber ekonomi baru

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 OKT: Kerajaan Negeri berhasrat untuk menjadikan Sungai Klang sebagai sumber baru ekonomi melalui Projek Selangor Maritime Gateway (SMG).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, projek berkeluasan hampir 88,000 ekar itu dikenalpasti sebagai konsep ‘urban regeneration’.

Katanya, ia melibatkan komponen pembangunan termasuk perdagangan, perhotelan, pelancongan, perumahan dan industri perkhidmatan.

“Secara langsung Projek SMG dapat meningkatkan tahap kebersihan kualiti air di dalam lembangan dan rizab Sungai Klang sekurang-kurangnya pada tahap Kelas II.

“Kebersihan Sungai Klang juga dapat mewujudkan alternatif pengangkutan awam seperti teksi air atau ‘water buses’ terutama dari muara hingga ke Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Selangor 2018 di Setia City Convention Centre (SCCC), hari ini.

Pada masa sama, Amirudin dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri bersetuju menerima pakai dan melaksanakan pelan induk tersebut.

“Pelan Induk SMG ini juga telah dimasukkan ke dalam Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Klang (Penggantian) 2035.

“Langkah ini juga dapat mengenalpasti punca pencemaran, memantau serta menguatkuasakan peraturan undang-undang pelepasan ‘effluent’ ke sungai,” katanya.


Pengarang :