BERITA UTAMASELANGOR

Tangkap keli dalam bendang di bandar unik dan mengujakan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 OKT: Gelagat lebih 100 peserta menangkap ikan keli di dalam bendang mencuri tumpuan orang ramai yang berada di Taman Botani, pagi ini.

Kesemua peserta dikehendaki menangkap ikan keli yang dilepaskan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari beberapa minit sebelum itu.

Peserta terdiri daripada 24 Zon Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dari seluruh kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Salah seorang peserta, Hassan Abu Bakar, 43 berkata, aktiviti tersebut lain daripada lain memandangkan ianya berlangsung di tengah kesibukan bandaraya Shah Alam.

“Ini adalah kali pertama saya menyertai acara sebegini sepanjang menetap di Selangor dan rasa seperti berada di kampung pula.

“Saya harap pada masa akan datang acara sebegini akan diadakan lagi bagi mengeratkan hubungan diantara penduduk termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Sementara itu bagi Raudhah Zulkifli, 34 berkata, kebiasaannya dia dan rakan-rakan menyertai aktiviti riadah berbasikal dan juga bersenam di sekitar Taman Botani.

“Tetapi kali ini berbeza apabila riadah saya dan jiran-jiran setaman adalah dalam bendang, walaupun selalu ke sini tetapi kami tidak pernah masuk ke bendang.

“Pada saya aktiviti sebegini menyeronokkan, tambahan lagi anak-anak kecil rasa seperti duduk di kampung,” katanya.

Selain pertandingan menangkap keli dalam bendang, peserta turut menyertai acara pertandingan tarik tali, rebut mutiara, pijak belon dan cari gula dalam tepung.

 


Pengarang :