SELANGOR

TAP: INPENS jangka perantis bertambah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 OKT: Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS) menjangkakan pertambahan perantis bagi program ‘Technician Apprenticeship’ (TAP), pada sesi kemasukan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata, hal itu kerana modul perkembangan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu didorong industri berkaitan.

Katanya, kolej berkenaan turut menyahut cabaran Kerajaan Negeri untuk melatih daya sumber manusia berkualiti dan sesuai permintaan serta permintaan pasaran industri.

“Kita berharap bukan hanya pelajar tetapi INPENS sendiri bukan hanya pusat kemahiran untuk melatih pelajar tercicir tetapi ke hadapan dan berkualiti tinggi.

“Dengan peluang diberikan, pelajar juga harus mempunyai kebolehan dalam bidang akademik,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran program TAP, di Hotel Concorde, di sini.

Terdahulu, seramai lapan pelajar INPENS menyertai program TAP, bermula September lalu untuk berkongsi sumber dan kemahiran, sekali gus merapatkan jurang kemahiran antara institut latihan dengan industri motosikal.

Menerusinya, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd menawarkan peluang pekerjaan selepas tamat pengajian dan melahirkan juruteknik mahir serta mampu memberi perkhidmatan kepada pelanggannya.

Salah seorang perantis TAP, Anis Syahmi Mohamad Sowarna berkata, peluang yang diberikan itu tidak akan dipersia, malah ia pasti akan membantunya meningkatkan kecekapan kemahiran kerjanya kelak.

“Saya gembira dengan peluang diberikan. Enam bulan dalam program itu pastinya memberi lebih banyak peluang untuk belajar dan memahami kemahiran dalam jabatan motosikal, alat ganti, pemasangan serta perkhidmatan pelanggan,” katanya.


Pengarang :