BERITA UTAMASELANGOR

TAP lahir perantis industri motosikal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 OKT: Program ‘Technician Apprenticeship’ (TAP) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri diyakini mampu melahirkan perantis berkemahiran tinggi dan berkualiti bagi memenuhi kehendak industri permotoran.

EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, ia mampu memberi nilai tambah terhadap industri itu selain menyumbang ke arah memartabatkan pendidikan akademik, teknikal dan latihan kemahiran.

Katanya, usaha terbabit juga sejajar hasrat Kerajaan Negeri memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan sumber tenaga manusia berkemahiran tinggi.

“Ketika ini, seluruh dunia berada di ambang kebangkitan Revolusi Perindustrian 4.0, justeru pelbagai usaha dilakukan untuk menggalakkan millennials, namun keberkesanan melahirkan tenaga kerja masih jauh dari sasaran, berbanding di Eropah.

“Justeru, kerjasama dengan Kolej Antarabangsa INPENS, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) dan Persatuan Penjual Motorsikal dan Skuter Malaysia (MMSDA) bertepatan hasrat Kerajaan Negeri untuk mewujudkan daya saing dalam kalangan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran program TAP, di Hotel Concorde, di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman; Pengarah Urusan HLYM, Dato’ Jim Khor; Pengerusi MMSDA, Wee Hong dan Ketua Pegawai Kewangan Pemerbadanan Menteri Besar, Zannifa Azura Ahmad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, TAP juga menjadikan HLYM sebagai penanda aras bagi syarikat pengeluar lain terbabit dengan sektor pendidikan.

Katanya, langkah itu secara tidak langsung mengurangkan kadar pengangguran graduan yang kian membimbangkan.

“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar kemahiran untuk menambah pengetahuan dan kemahiran, malah mencipta peluang pekerjaan,” katanya.

Seramai lapan pelajar INPENS diberi peluang menyertai program TAP selama enam bulan bermula September lalu dan berpeluang bekerja di syarikat berkenaan selepas tamat tempoh pengajian.


Pengarang :