SELANGOR

TAP ‘penyelamat’ isu kurang Juruteknik Motosikal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 OKT: Kekurangan Juruteknik Motosikal di negara ini membuatkan Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) mahu melahirkan perantis menerusi program ‘Technician Apprenticeship’ (TAP).

Pengarah Urusannya, Dato’ Jim Khor berkata, kehendak industri motorsikal ketika ini mahu pekerja yang bukan sahaja mahir membaiki tetapi mampu mencipta teknologi baru dan memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dalam pelbagai bentuk.

Katanya, kolaborasi bersama Kolej Antarabangsa INPENS itu bukan sahaja kepada pelajar, malah bengkel ‘Celik Yamaha’ kepada tenaga pengajar kolej berkenaan.

“Bagi pengambilan pertama, kita memilih lapan pelajar dan berharap bilangannya bertambah, pada setiap enam bulan dalam kemasukan pelajar seterusnya.

“Inisiatif ini juga menandakan komitmen kami terhadap tanggungjawab sosial korporat ke arah peningkatan juruteknik industri berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran program TAP, di Hotel Concorde, di sini.

Hadir sama EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau; Ketua Pegawai Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman; Pengerusi Persatuan Penjual Motorsikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), Wee Hong dan Ketua Pegawai Kewangan Pemerbadanan Menteri Besar, Zannifa Azura Ahmad.

Jim berkata, antara punca utama pengangguran dalam kalangan graduan ketika ini adalah disebabkan jurang kemahiran yang dipelajari dengan kehendak industri.

Selain itu, katanya, masalah ‘soft skill’ dan kemahiran komunikasi juga menjadi punca utama selain kefahaman teknologi baru ketika ini.

“Sehubungan itu, kita mahu kerjasama dengan INPENS melahirkan graduan berkompeten tinggi selain menyediakan peluang pekerjaan.

“Malah, program dan latihan bersama tenaga pengajar juga penting dan pelaksanaan ini membawa banyak manfaat bukan sahaja industri, malah perkhidmatan kepada pelanggan juga meningkat,” katanya.

Usaha itu turut disokong Wee Hong berharap industri permotoran akan berkembang maju menerusi TAP.

“Hakikatnya sebagai pendengar, pasaran industri motosikal mengalami isu kekurangan juruteknik berbanding kereta.

“Ketiadaan institusi seperti INPENS dalam bidang motosikal juga menyebabkan ia ketinggalan,” katanya.


Pengarang :