SELANGOR

Tapak Pasar Pandamaran jadi institut belajar memandu

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 3 OKT: Memahami keperluan dan kehendak penduduk sekitar bagi lokasi belajar dan membuat lesen memandu, Institut Memandu Uji Niaga Sdn Bhd mengambil inisiatif menjadikan Tapak Pasar Pandamaran untuk dijadikan institut memandu.

Institut itu dirasmikan Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamad Yasid Bidin dan turut dihadiri Pengarah JPJ Selangor, Rizal Zaidi serta Ketua Pelesenan Bahagian JPJ negeri, Datuk Azhar Mohd Esa.

Mohamad Yasid berkata, penubuhan itu mendatangkan pelbagai manfaat kepada penduduk setempat termasuk peluang perniagaan di kawasan berhampiran dan bakal menjadi tumpuan pengunjung luar.

“Dengan adanya latihan pemanduan profesional yang diberikan oleh tenaga pengajar, ia sekali gus membentuk sikap pemanduan berhemah kepada mereka.

“Seterusnya dapat mengurangkan kadar kemalangan melalui latihan dan pembelajaran secara teori serta praktikal yang cekap kepada para pelatih,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau berkata, pembukaan institut memandu ini juga dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Sementara itu, Penasihat Syarikat Uji Niaga Sdn Bhd, Azhar Mohd Esa, berharap penubuhan institut itu dapat menarik lebih ramai pelatih dan hubungan yang baik dapat dibina antara pihak institut dengan mereka.

Majlis perasmian terbabit turut dimeriahkan dengan penyampaian sumbangan bantuan kepada beberapa badan-badan kebajikan berdekatan.


Pengarang :