SELANGOR

Tarikan terbaru di Taman Tasik Shah Alam gamit pengunjung

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 OKT: Jambatan kanopi dan titi gantung, itu antara tarikan terbaru yang terdapat di Taman Tasik Shah Alam.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, selain itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut menyediakan menara tinjau dan trek basikal kanak-kanak khas buat pengunjung.

Katanya, jambatan kanopi yang dibina sepanjang 147.6 meter itu mempunyai ketinggian tiga meter dari permukaan tanah.

“Bagi mereka yang ingin melihat pemandangan lebih indah di sekitar Tasik Shah Alam ini, mereka boleh menggunakan menara tinjau yang dibina dengan ketinggian enam meter.

“Projek pengindahan ini bertujuan untuk memberi daya tarikan baru kepada pengunjung kerana Taman Tasik Shah Alam menjadi tumpuan utama bagi aktiviti riadah, tidak dinafikan keindahan landskap di sini turut menggamit masyarakat sekitar Lembah Klang khususnya Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis perasmian empat jenis tarikan terbaru Taman Tasik Shah Alam, di sini, pagi tadi.

Ahmad Zaharin berkata, menariknya kali ini, MBSA turut menyediakan kemudahan buat kanak-kanak termasuk trek basikal sejauh 129 meter.

“Turut dibina ialah jambatan khas kanak-kanak bagi membolehkan mereka merasai pengalaman berada di atas jambatan dengan paras selamat.

“Wujudnya kemudahan baru ini, MBSA mengharapkan kerjasama pengunjung supaya dapat bersama-sama menjaga kemudahan awam yang disediakan, ia supaya dapat digunakan dengan lebih selamat dan selesa,” katanya.


Pengarang :