GLOBAL

Taufan Micheal: Florida seakan-akan ‘zon peperangan’

PANTAI MEXICO, Amerika Syarikat 14 OKT- Taufan Michael yang melanda menyebabkan sekurang-kurangnya 17 orang maut dan dibimbangi jumlah itu semakin meningkat ketika pasukan mencari dan menyelamat menggeledah runtuhan bangunan di pekan Florida yang ranap dibadai bencana tersebut.

“Pantai Mexico musnah,” kata Gabenor Florida, Rick Scott mengenai bandar di mana Taufan Michael tiba di daratan dengan ribut kategori empat pada Rabu lalu.

“Ia seperti letupan sebutir bom. Kawasan di sini seperti zon perang,” tambah Scott selepas melawat pekan yang didiami 1,000 penduduk di Teluk Mexico.

“Pasukan penyelamat menggunakan anjing pengesan di Pantai Mexico kelmarin bagi mencari mangsa-mangsa yang mungkin terperangkap di bawah runtuhan kediaman.

Media melaporkan satu kematian di pekan melibatkan seorang warga emas yang ditemui mati keseorangan, menurut Datuk Bandarnya, Al Cathey. Pegawai-pegawai berkata, mayat mangsa ditemui beberapa ratus meter dari kediamannya.

Ketua Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan, Brack Long memberi amaran jumlah kematian mungkin meningkat.

“Saya berharap jumlahnya tidak naik, namun saya mempunyai alasan kuat mempercayai kerana kami masih tidak mampu sampai ke kawasan paling teruk dibadai taufan itu,” katanya.

Ratusan bangunan seperti rumah, kedai dan restoran hanya tinggal tapak selepas dibadai angin 250 kilometer sejam.

SUMBER: AFP


Pengarang :