NASIONAL

Tawaran Hishammuddin bawa balik Jho Low tidak rasional

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Tawaran bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mencari dan membawa pulang ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low dari China sebagai tidak rasional.

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, ia berikutan hubungan baik antara Malaysia dan China malah kedua negara mempunyai matlamat sama dalam perkara berkaitan.

“Saya tidak nampak keperluan tawaran dibuat beliau berkaitan perkara itu.

“Ini kerana hubungan baik antara Malaysia dan China serta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri baharu sahaja pulang daripada lawatan ke negara itu,” katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian berhubung tawaran dibuat Hishammuddin untuk membantu kerajaan mencari dan membawa pulang Jho Low ke Malaysia.

Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) kini sedang berusaha mengesan jejak Jho Low kerana beliau dikehendaki ekoran dipercayai mempunyai kaitan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata, tawaran itu juga sepatutnya dilakukan lebih awal dan bukan ketika ini selepas PAKATAN mentadbir Persekutuan.

“Bagaimanapun tentunya kerajaan melalui kementerian berkaitan akan mengkaji dan melihat rasional tawaran itu.

“Kalau ianya khusus untuk menjejaki dan membawa pulang Jho Low, saya kira ia tiada masalah untuk kita benarkan,” katanya.

Beliau berkata, rakyat pasti ingin melhat Jho Low berjaya dibawa pulang setetusnya dihadap ke muka pengadilan.

“Apabila Najib didakwa di mahkamah maka kebenaran kes ini akan diketahui (dengan kehadiran Jho Low),” katanya.


Pengarang :