SASTERA

Tentang perang antara sinema dan sastera

Oleh Adam Taufiq Suharto

SENGKETA adik beradik bukanlah sesuatu yang baru dan tidak cuma terjadi dalam skala rebut tanah pusaka keluarga manusia Melayu semata-mata. Manusia telah mula bermandi darah sejak Kabil dan Habil merebut Iqlima untuk dijadikan suri hati. Ini diwarisi zaman demi zaman, bangsa demi bangsa. Nafsu bergaduh dan serakah bersengketa tidak boleh tidak harus diakui meresap dalam nuansa seni. Ada pelbagai siri, seperti “seni untuk seni” melawan “seni untuk masyarakat”, “seni Islam” melawan “seni Barat” dan banyak lagi.

Namun, dalam sastera melawan sinema, semua ini bermula dengan Charles Baudelair, penyair Perancis melaungkan suara, “Sinema bakal mengkorupkan kesenian tradisional.” Kesenian tradisional yang dimaksudkan Baudelair adalah seni-seni premier yakni sastera, seni visual, teater dan muzik. Dari satu sudut, kita boleh terima kebobrokan sinema popular yang dikendungi sutradara bermata duitan, yang juga menjual tubuh wanita dan menghembus nafas ekskapis di layar lebar. Namun, ini jadi problematik tatkala sifat buruk dan hiburan semata-mata menjadi stereotaip terhadap medium sinema.

Memang adat dunia sukar menerima perkara baru. Ibarat adik baru ingin lahir, bakal si abang mula ronta-ronta takut tak dimanjakan, takut hilang perhatian. Satu perkara yang perlu kita telusuri, filem adalah bentuk seni sekunder kerana faktor kelahirannya yang lewat pasca semua medium seni muncul, lebih rinci, pasca Lumiere bersaudara — Auguste Marie Louis Nicolas dan Louis Jean — mencipta gambar hidup (sinema). Namun, selaku seni sekunder atau kedua, bukanlah bererti sinema berada di bawah kaki seni-seni premier yang lain. Ini disebabkan kemampuan filem menjangkau medium seni sedia ada. Seperti hemat pengarah terkenal Jepun, Akira Kurosawa: dalam filem, ada sastera, ada teater, ada muzik, ada seni visual, ada fotografi malah arsitektur.Tak cukup dengan itu, seperti kata pengkritik filem Perancis Andre Bazin, sinema adalah lapangan dan medium paling rapat untuk memapar realiti. Ini dapat dibuktikan menerusi filem-filem realisme sosial seperti yang dihasilkan pengarah filem independan Filipina Brillante Mendoza misalnya.

Sebab itu, tidak boleh tidak, untuk membolehkan seseorang menjadi pembikin filem, dia perlu sekurang-kurang melintasi dan menyelami setiap medium seni premier. Atau mungkin juga boleh tanpa menyelami semua seni premier jika bersedia untuk dilampias gelaran matte-en-scene atau tukang pentas sahaja kepada satu-satu filem. Lihat sendiri lemparan sejarah cineaste tersohor dunia, David Lynch misalnya seorang pelukis dan menjadi cineaste; Stanley Kubrick bermula dengan fotografi kemudian terjun ke lembah filem manakala Christopher Nolan mengaji sastera kemudian bikin filem sendiri. Hasilnya tak daya disangkal, ada magis dalam kerja mereka.

Kini, saya kira pertelagahan antara filem dan sastera sudah semakin sirna. Antara jalan yang membaik pulih hubungan ini adalah apabila ramainya pembikin filem yang meraikan sastera menerusi filem. Berlaku adaptasi ke atas naskhah-naskhah sastera. Pengarah filem Taiwan Ang Lee pernah mengangkat Sense of Sensibility karya Jane Austen; pengarah filem Belgium Chantal Akerman pernah mengadaptasi karya Conrad berjudul Almayer’s Folly, begitu juga sutradara prolifik negara U-Wei Haji Saari, pernah mengadaptasi cerpen Barn Burning karya William Faulkner menjadi filem Kaki Bakar. Naskhah sastera tempatan juga pernah mencipta sejarah apabila karya Shahnon Ahmad, Ranjau Sepanjang Jalan diadaptasi ke layar perak oleh pengarah Cambodia dan bertanding filem terbaik di Festival Filem Cannes dalam kategori utama atau Palm d’Or (tapi tumpas di tangan Pulp Fiction).

Hubungan sinema dan sastera dijalinkan oleh sebuah jambatan bernama naratif. Malah, keberjayaan sinema menvisualkan sastera, memberi nafas keamanan kepada pertelagahan adik beradik ini. Apabila adaptasi berlaku, tugas sutradara untuk memastikan naratifnya fantastik sudah hampir selesai, tetapi menjadi mencabar kerana perlu memastikan filemnya bukan fantastik kerana cerita sahaja, dan bukan dialog sahaja yang bercerita, sebaliknya visual dan segala unsur-unsur filem yang menggerakkan filemnya. Inilah yang menimbulkan bibit-bibit manis kepada hubungan adik beradik sinema dan sastera dunia.

Barangkali kita sudah boleh untuk menyahkan debat medium seni mana yang paling mulia, atau medium seni mana yang paling sakral, sebaliknya mulakan satu ajakan untuk saling menghargai setiap medium dan saling melengkapi satu-satu medium. Paling mustahak, kita harus lebih bersedia, dengan segala medium-medium seni baru yang bakal mencabar status segala macam jenis seni sedia ada umpamanya gerakan metamoden yang menggunakan perasaan sebagai bentuk kesenian?

Hanya Raja sekalian raja saja yang tahu.


Pengarang :