AGAMASELANGOR

Terima kasih MAIS, YIDE hargai pengorbanan Allahyarham Adnan

OLEH HAFIZAN TAIB

PORT DICKSON, 9 OKT: Keluarga anggota Bomba, Allahyarham Adnan Othman, merakamkan penghargaan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) atas sumbangan diberikan, hari ini.

Balunya, Shahmiza Salleh, 32, berkata, sumbangan diberikan itu membawa makna tersendiri kepada keluarganya terhadap khidmat bakti Allahyarham selama ini.

“Ia adalah penghargaan terhadap pengorbanan Allahyarham ketika menjalankan tugas dan saya terharu atas sokongan diberikan ini,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian di kediaman keluarga mentua Allahyarham di Taman Datuk Abdul Samad di sini, hari ini.

Terdahulu, Anggota MAIS, Datin Paduka Suadah Sulaiman, mewakili Pengerusinya, Dato’ Mohammed Khusrin Munawi menyerahkan sumbangan RM1,500 kepada Shahmiza.

Shahmiza, seorang Pensyarah Institut Latihan Kementerian Kesihatan di Sungai Buloh, Selangor berkata, perkara berbeza berlaku pada hari kejadian ialah beliau dan Adnan tidak bergerak pada waktu sama untuk ke tempat kerja.

“Walaupun menggunakan kenderaan masing-masing, kebiasaannya kami akan bergerak pada waktu sama, namun berbeza pada hari itu kerana saya terpaksa menyiapkan anak di rumah.

“Pada petangnya, beliau memaklumkan terbabit dalam satu misi menyelamat yang mana selepas itu saya menerima berita sedih yang menimpa dirinya pada malam itu,” kata ibu kepada dua anak, Nur Aisyah Damia, 4, dan Nur Aliyah Maisarah, 2.

Adnan adalah salah seorang daripada enam anggota Bomba yang terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di lombong Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor, 3 Oktober lalu.

Beliau ialah anggota yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Selangor.


Pengarang :