SELANGOR

Terus martabatkan Bahasa Melayu, asas perpaduan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan
merupakan bahasa perpaduan dan amat sesuai dengan peranan guru yang mengajar serta mendidik murid pelbagai kaum di sekolah.

Isteri Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad berkata, perpaduan yang terjalin melalui bahasa itu akan dapat menjadi pemangkin ke arah kemakmuran dan kesejahteraan negara yang dicintai.

Katanya, ia sekali gus, mewujudkan hubungan baik antara murid peringkat sekolah dapat diperkukuh dan diteruskan hingga mereka menjadi ahli masyarakat dalam negara ini.

“Bahasa Kebangsaan negara kita merujuk bahasa Melayu yang antara fungsinya sebagai bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi rakyat Malaysia.

“Penggunaan pelbagai bahasa dalam kalangan rakyat boleh memungkinkan timbulnya salah faham akibat kesalahtafsiran maksud dan seumpamanya.

“Oleh itu, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Majlis Penutupan Bulan Bahasa Kebangsaan 2018, di Dewan Aminuddin Baki, Bangunan Menara Institut Pengajian Guru Kampus Bahasa Melayu bagi mengantikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Masdiana berkata, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu amat sinonim dengan pelajar dan masyarakat kerana dapat mengungkapkan ilmu dalam pelbagai bidang seiring dengan perkembangan semasa.

Sehubungan itu, bagi memperkasakan tujuan ini, katanya, para ilmuan seperti pensyarah boleh menghasilkan penulisan dan penerbitan dalam bidang masing-masing dengan menggunakan bahasa Melayu bagi menyebarluaskan kepakaran yang dimiliki.

“Adalah lebih baik sekiranya kita mempunyai kepakaran dalam bidang terjemahan supaya dapat menterjemahkan karya bermutu daripada bahasa lain ke dalam bahasa Melayu.

“Kandungan karya berkenaan dapat membantu menambahkan ilmu pembaca. Dewasa ini, negara kita memerlukan rakyat yang berilmu dalam pelbagai bidang untuk memajukan negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau yakin dengan kewibawaan dan kepakaran pensyarah untuk memberikan ilmu bahasa Melayu yang terbaik kepada pelajar.

“Saya juga percaya bahawa pelajar di IPG ini sentiasa berusaha untuk menjadi guru bahasa Melayu yang berkesan dan memenuhi aspirasi negara seiring dengan perkembangan ilmu dan pedagogi abad ke-21,” katanya.

 


Pengarang :