NASIONAL

Tiga ceramah mega akhiri kempen Anwar hari ini

OLEH NADIAH ZAMLUS

PORT DICKSON, 12 OKT: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menamatkan kempen terakhirnya dengan tiga ceramah mega sebelum pengundian bermula esok.

Anwar melalui twitternya memberitahu, siri kempennya hari ini bermula dengan sarapan bersama penduduk di Taman Sejahtera.

Beliau turut dijangka bertemu dengan guru-guru koperasi sekolah Port Dickson dan veteran Angkatan Tentara Malaysia (ATM) pada sebelah tengahari.

Kemudiannya beliau turut menyertai tazkirah Maal Hijrah di dua buah masjid, iaitu Masjid Kariah Teluk Kemang dan Masjid Sungai Raya DUN Linggi.

Siri kempen PRK Port Dickson yang ditutup dengan tiga ceramah mega itu akan turut menyaksikan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Presiden KEADILAN itu dijangka menyampaikan ceramah meganya bermula di Dewan Kelab Sukan, Pasir Panjang DUN Linggi bermula jam 9.30 malam.

Kemudiannya, pada jam 10.30 malam bergerak ke Kampung Sawah DUN Chuah dan terakhir di Dewan Bagan Pinang pada jam 11.30 malam.

PRK Port Dickson dijadualkan berlangsung esok menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan (PAKATAN), PAS dan Bebas.

PAS mempertaruhkan Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, sementara lima calon yang bertanding atas tiket Bebas adalah Tan Sri Isa Samad, Saiful Bukhari Azlan, Lau Seck Yan, Stevie Chan Keng Leong dan Kan Chee Yuen.

 


Pengarang :