AGAMASELANGOR

Tindakan penguatkuasaan jenayah syariah diteruskan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan meneruskan tindakan penguatkuasaan terhadap aduan semua kesalahan jenayah syariah termasuk kesalahan khalwat.

Pengerusinya, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi berkata, pihaknya akan sentiasa memantau dan memastikan tindakan penguatkuasaan dijalankan bertepatan dengan prosedur operasi standard diluluskan.

“MAIS menegaskan pelaksanaan undang-undang syariah adalah di bawah bidang kuasa negeri dan diperuntukkan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang negeri.

“Justeru, tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan bagi semua kesalahan jenayah syariah melalui bahagian pengurusan penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Mohammed Khusrin menasihatkan semua umat Islam di Selangor untuk tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah syariah yang termaktub di dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Katanya, semua pihak juga digesa untuk menyalurkan maklumat berkaitan perbuatan jenayah menerusi Hotline JAIS 1-800-88-2424.


Pengarang :