EKONOMI

Tinjauan: Ada PKS sukar tembusi jurang digital

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Penggunaan ICT dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kebanyakannya membabitkan peranti peribadi berbanding proses perniagaan menyeluruh seperti Pengurusan Perhubungan Pelanggan da Perancangan Sumber Perusahaan.

Tinjauan Pendigitalan PKS oleh Huawei Technologies dan SME Corp Malaysia (SME Corp), juga menunjukkan PKS telah mencapai tahap pengkomputeran yang tinggi, namun ada yang mendapati sukar untuk merentas jurang digitali, dengan implikasi ketara ke atas keuntungan perniagaan dan produktiviti .

Laporan itu juga menunjukkan hubungan yang lemah antara PKS dan firma besar, kata SME Corp dalam satu kenyataan hari ini.

Tinjauan ini merupakan antara inti pati Laporan Tahunan PKS 2017/18 yang dikeluarkan oleh SME Corp baru-baru ini dengan tema ‘Dunia yang berhubung – Mendigitalkan PKS’.

Berikutan tinjauan itu, ‘Kertas putih bagi mempercepat Pendigitalan PKS Malaysia: Melepaskan Perangkap Komputer’ akan diterbitkan dan dilancarkan oleh SME Corp dan Huawei Technologies dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Menurut laporan itu, PKS menyumbang RM435.1 bilion kepada ekonomi pada 2017, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi sebanyak 7.2 peratus berbanding 5.2 peratus pada 2016.

“Sumbangan KDNK menerusi PKS terus meningkat kepada 37.1 peratus daripada 36.3 peratus pada tahun sebelumnya, manakala sumbangan PKS kepada pekerjaan keseluruhan meningkat kepada 66.0 peratus daripada 65.3 peratus pada 2016.

“Namun, walaupun mencatat kenaikan dari segi nilai eksport kepada RM167.4 bilion pada 2017, jumlah sumbangan PKS kepada eksport adalah lebih rendah kepada 17.3 peratus (2016: 18.6 peratus) berikutan pertumbuhan eksport yang lebih tinggi oleh firma besar,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :