PELANCONGANSELANGOR

Tourism Selangor pergiat acara MICE berskala antarabangsa

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 OKT: Tourism Selangor sedang mempergiat usaha meningkatkan bilangan pengunjung bagi sektor pelancongan berasaskan acara Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE).

Pengurus Besarnya, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, hal itu memandangkan Selangor adalah destinasi yang sangat ideal untuk penganjuran acara MICE berskala antarabangsa.

Bagaimanapun katanya, pihaknya masih mengekalkan lawatan pelancong dari pasaran utama termasuk Singapura, China, India dan negara Timur Tengah.

“Tourism Selangor sebagai agensi pelancongan mengambil inisiatif dalam memainkan peranan untuk turut membantu mempromosikan destinasi MICE sebagai salah satu tarikan pelancong.

“Ini kerana industri MICE adalah pemacu penting dalam meningkatkan pendapatan ekonomi negara khususnya, di Selangor.

“Selain dapat meningkatkan jumlah pelancong dari dalam dan luar negara, ia sekali gus meletakkan Selangor sebagai negeri yang wajib dilawati,” katanya dalam kenyataan.

Noorul Ashikin berkata, sebagai negeri yang pesat membangun, Selangor menawarkan tempat sesuai dengan semua jenis acara, belanjawan dan keperluan.

Katanya, pusat itu menyediakan ruang fleksibel bagi membolehkan acara berkenaan dijalankan dan berkemampuan mengendalikan pelbagai acara serta dilengkapki audio visual juga komunikasi.

“Sebagai pintu utama masuk negara, Selangor dilengkapi pelbagai kemudahan bergerak dari suatu tempat seperti MRT dan LRT.

“Dengan kemudahan infrastruktur dan komunikasi terbaik seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2 serta Subang Skypark, ia sangat memudahkan pelancong dari luar negeri untuk ke Selangor.

“Selain itu, terdapat juga dewan atau ruangan pelbagai guna seperti Damansara Performing Arts Centre, I-City Park, Sepang International Circuit Sdn Bhd dan Sunway Lagoon,” katanya.

Beliau berkata, beberapa destinasi ideal MICE bagi kategori Konvensyen dan Pameran adalah Malaysia Agro Exhibition & Convention Centre (MAEPS), Setia City Convention Centre, Palace of The Golden Horses Hotel serta Sunway Convention Centre.

Katanya, bagi kategori hotel dan resort pula, terdapat lebih 20 hotel sesuai untuk penganjuran acara MICE.


Pengarang :