GLOBAL

Tragedi Lion Air: JT610 meragam sehari sebelum nahas

SINGAPURA/JAKARTA 30 OKT: Pesawat Boeing 737 MAX milik Lion Air yang terhempas di Indonesia pagi semalam terbang dalam keadaan terhuyung-hayang ketika penerbangan malam sebelumnya apabila ia mengalami masalah teknikal, menurut data daripada laman web pengesan penerbangan FlightRadar24.

Ketika berlepas dari Denpasar di Bali malam kelmarin, pesawat melaporkan perubahan luar biasa dalam altitud (ketinggian) dan kelajuan ketika beberapa minit penerbangan termasuk penurunan 875 kaki (267 meter) dalam tempoh 27 saat apabila ia biasanya menaik, sebelum stabil dan meneruskan perjalanan ke Jakarta.

Bagaimanapun, juruterbang meletakkan pesawat pada altitud maksimum 28,000 kaki (8,534.4 meter) berbanding 36,000 kaki (10,972.8) di laluan sama awal minggu ini.

Ketua Eksekutif Lion Air, Edward Sirait memberitahu media semalam, masalah teknikal berlaku dalam penerbangan Denpasar-Jakarta namun ia sudah dipulihkan ‘mengikut prosedur.’

Dua daripada penumpang pesawat menghantar tulisan di Instagram, melaporkan mereka bimbang mengenai masalah dengan sistem pendingin hawa dan lampu kabin sebelum pesawat berlepas lewat hampir tiga jam.

“Saya berang kerana sebagai penumpang yang membayar tiket, kami berhak menyoal keselamatan pesawat,” kata seorang daripadanya, hos televisyen, Conchita Caroline. Beliau menambah ada bunyi bising ‘pelik’ enjin ketika berlepas yang berterusan sepanjang penerbangan.

Tidak jelas jika masalah kabin berkaitan dengan masalah teknikal disebut Edward. Penerbangan Denpasar-Jakarta mendarat jam 10.55 malam waktu tempatan Ahad, memberi jurutera tempoh enam jam setengah untuk pemeriksaan sebelum ia berlepas untuk penerbangan malang Jakarta-Pangkal Pinang jam 6.20 pagi semalam.

Pesawat terjunam ke dalam laut kira-kira 13 minit sejurus berlepas dari Jakarta dan kesemua 189 penumpang dipercayai maut. FlightRadar24 juga melaporkan kelajuan dan altitud luar biasa ketika beberapa minit pesawat JT610 berada di udara semalam.

SUMBER: REUTERS

 


Pengarang :