NASIONAL

Tren berlanggar, KTMB mula siasatan segera

TANJUNG MALIM, 18 OKT: Insiden perlanggaran dua tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Stesen Tanjung Malim, pagi tadi akan disiasat berdasarkan dua aspek utama iaitu masalah teknikal dan kesilapan manusia.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Rani Hashim Samsudin berkata, siasatan akan dijalankan secepat mungkin bagi mengenal pasti punca serta langkah yang perlu diambil untuk menanganinya.

“Buat masa ini, kerja pembaikan trek sedang dilakukan selain menunda tren terbabit bagi membolehkan laluan ke utara yang terjejas dapat dibuka semula, sekali gus melancarkan perkhidmatan.

“Pada masa ini, hanya satu laluan dibuka dan kelewatan perkhidmatan tren ini berlaku kerana penggunaan satu landasan sahaja di antara Tanjung Malim dan Kuala Kubu Baru,” katanya lapor BERNAMA.

Katanya kejadian itu adalah yang kedua dalam tempoh dua tahun selepas kejadian, pada Mei 2016 di Kuala Kubu Bharu.

Mengulas lanjut, Rani Hashim berkata, selain kerosakan trek, dua daripada enam koc tren komuter mengalami kerosakan teruk.

Terdahulu, KTMB dalam kenyataan berkata, kejadian yang berlaku pada jam 6.02 pagi, di Platform 2 stesen berkenaan menyebabkan lima daripada 20 penumpang tren komuter itu cedera ringan.

Tren kargo dengan muatan 30 gerabak itu dalam perjalanan dari Stesen Jalan Kastam ke Ipoh Cargo Terminal Ipoh, manakala tren komuter pula sedang bersedia untuk memulakan perjalanan ke Stesen Pelabuhan Klang yang dijadualkan, pada jam 6.05 pagi.

 


Pengarang :