SELANGORSUKANKINI

Trio Sepak Takraw Malaysia riuhkan Hari Sukan Negara 2018

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 OKT: Trio sepak takraw Malaysia yang merangkul pingat Emas pada temasya Sukan Asia 2018 tidak ketinggalan untuk turun padang memeriahkan Hari Sukan Negara (HSN) 2018 peringkat Selangor, hari ini.

Mereka hadir dalam sesi ‘Meet & Greet’ bagi menyatakan tanda sokongan atas komitmen Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Selangor menganjurkan program terbabit.

Bagi Ketua Pasukan yang juga Pengumpan, Farhan Adam berkata, sambutan diberikan pengunjung begitu menggalakkan melalui penglibatan sama dalam aktiviti sukan yang disediakan penganjur.

“Pada awalnya, saya tidak menyangka sambutan sehebat ini tetapi ia nyata memperlihatkan bahawa rakyat negara ini, khususnya di Selangor sangat mementingkan amalan hidup sihat.

“Saya berharap mereka terus menjadikan aktiviti sukan sebagai rutin harian dan tidak perlu menunggu Hari Sukan Negara sahaja, kerana dengan bersukan mereka akan memiliki kekuatan fizikal serta meningkatkan daya ketahanan badan,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu, Perejam sepak takraw iaitu Khairul Zaman Hamir Akhbar, bahkan menyifatkan aktiviti bersukan dapat menarik orang awam untuk memanfaatkan masa lapang dengan cara lebih baik.

Katanya, orang ramai perlu memanfaatkan segala kelengkapan dan kemudahan sukan yang disediakan.

“Tiada alasan untuk kita tidak bersukan kerana banyak kemudahan yang ada pasa masa kini membolehkan orang ramai melakukan aktiviti yang menyihatkan badan.

“Jadi saya berharap mereka dapat menggunakan kelengkapan yang ada sebaik mungkin,” katanya.

Pemain posisi Tekong, Muhamad Norhaffizi Abdul Razak turut senada dengan Khairol Zaman.

Katanya, orang ramai seharusnya lebih berminat untuk bersukan kerana prasarana sukan yang ada cukup lengkap seperti gelanggang, dewan dan padang.

Terdahulu, HSN di Selangor berlangsung penuh gamat dengan penyertaan lebih 3,000 peserta pelbagai peringkat umur.

Antara aktiviti menarik disediakan adalah ‘Hill Run’ ‘Aerobicthon Competition’, pertandingan lompat tali, demonstrasi (silat, silamban dan wushu), serta ‘Amazing Race’

Berlangsung di Taman Botani Negara Bukit Cahaya Seri Alam, program itu dirasmikan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu serta Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari.


Pengarang :