GLOBAL

Tsunami landa Palu, pihak berkuasa bergelut hantar bantuan

OLEH SHEEDA FATHIL

PALU, 1 OKT: Berikutan kejadian Tsunami melanda Palu, pihak berkuasa Indonesia bergegas menghantar makanan, bantuan dan peralatan ke Pulau Sulawesi yang dilaporkan jumlah korban sudah meningkat kepada 832.

Malah, puluhan penduduk di situ dilaporkan terperangkap di bawah runtuhan beberapa hotel dan pusat beli belah berikutan ombak setinggi enam meter dan gempa bumi berukuran 7.5, pada 28 September lalu.

Ratusan lagi manusia dikhuatiri tertimbus dalam tanah runtuh yang menenggelamkan perkampungan di kawasan sekitar.

“Simpati kepada penduduk Sulawesi Tengah, kita semua bersedih,” kata Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo menerusi Twitter, semalam.

Kebanyakan kematian berlaku di Palu dan pihak berkuasa menjangkakan angka kematian meningkat apabila hubungan dengan kawasan terpencil kembali pulih.

Antara yang menjadi perhatian adalah Donggala, wilayah diduduki 300,000 penduduk dan terletak berhampiran pusat gegaran dan dua daerah berhampiran, terputus komunikasi sejak Jumaat.

“Kami belum menerima sebarang laporan daripada tiga kawasan itu. Komunikasi dan bekalan elektrik masih terganggu.

“Kami tidak tahu apa kesannya di situ,” kata jurucakap Agensi Bencana Kebangsaan, Purwo Nughoro, pada sidang akhbar.

Dalam kejadian itu, lima rakyat asing iaitu tiga Perancis, seorang Korea Selatan dan seorang Malaysia, ialah antara yang hilang, katanya.


Pengarang :