SELANGOR

Tubuh Majlis Tindakan OKU, beri lebih tumpuan

OLEH NORHAYATI UMOR

BANGI, 17 OKT: Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Tindakan Orang Kelainan Upaya (OKU) sebagai pemantau dan pemikir dalam usaha memperkasakan golongan berkenaan secara komprehensif.

EXCO Kesihatan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Majlis Tindakan OKU itu terdiri daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), badan bukan kerajaan (NGO), pihak kerajaan dan jawatankuasa kesihatan dan pendidikan.

Katanya, bermula tahun depan, Kerajaan Negeri akan merencanakan dan memberi tumpuan lebih kepada golongan berkenaan.

“Kita menjangkakan dalam tempoh lima tahun ini, golongan OKU ini dapat diperkasakan secara menyeluruh bagi membantu mereka menjalani kehidupan seperti orang biasa.

“Kerajaan Negeri mahu golongan OKU ini tidak kira bagaimana kategorinya diberi perhatian dari lahir, kanak-kanak, remaja, belia dan warga emas.

“Tumpuan ini dari segi pendidikan awal, kesihatan dan pekerjaan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan program ‘Roadtour Early Intervention (EIP) di RHR Hotel Uniten, di sini.

Sementara itu, Pengarah JKM Selangor, Mohammad Hanafi Maulud berkata, pihaknya menyambut baik usaha yang dilaksanakan Kerajaan Negeri itu.

Katanya, penubuhan Majlis Tindakan OKU itu juga mereformasikan era golongan OKU dari segi dasar, pelan dan aktiviti bakal dilaksanakan.

“Saya percaya majlis ini dapat merangka dasar dan pelan holistik dari segi kategori OKU dan aspek golongan ini.

“Kita akan memastikan golongan ini terus diperkasa dengan mengamalkan dasar ‘dari mana ke mana’, iaitu mengambil penekanan dari bayi hingga warga emas,” katanya.


Pengarang :