NASIONAL

Tun M: Saya gembira Anwar kembali

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gembira melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat, hari ini selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Sabtu lalu.

Katanya, kemunculan semula Anwar ke Parlimen sudah dijangka tambahan beliau menang dengan majoriti besar walaupun berhadapan saingan tujuh penjuru.

“Sudah tentu saya gembira kerana dia dari parti sama. Kita menjangkakan dia kembali. Kita juga menjangkakan dia menang.

“Apabila ada tujuh individu bertanding, (undi) pembangkang akan berpecah kepada enam dan yang ketujuh akan menang. Dia (Anwar) menang besar,” katanya kepada media di lobi Parlimen.

Anwar sebelum itu selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, pada jam 10.02 pagi.

Pada PRK Port Dickson, Anwar yang memperoleh 31,016 undi menang dengan majoriti selesa 23,560 menewaskan enam lagi calon dari PAS dan BEBAS.


Pengarang :