GLOBAL

Turki, AS ikrar siasat kes Khashoggi hingga akar umbi

ANKARA 24 OKT: Turki dan Amerika Syarikat (AS) semalam berikrar untuk menyiasat hingga ke akar umbi pembunuhan Jamal Khashoggi dan membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan selepas Arab Saudi mengakui bahawa wartawan berpengaruh itu terbunuh semasa operasi keselamatan di Istanbul.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menepis cubaan Arab Saudi untuk menyalahkan operasi jenayah sebagai punca kematian Khashoggi dan menggesa Riyadh untuk membuat penyiasatan hingga ke akar umbi bagi mencari dalang sebenar pembunuhan berkenaan manakala Naib Presiden AS, Mike Pence menyifatkan pembunuhan itu sebagai satu kekejaman.

Kematian Khashoggi dalam kawasan konsulat Arab Saudi pada 2 Oktober lalu telah mencetuskan kemarahan antarabangsa dan menimbulkan persoalan berhubung peranan Putera Mahkota Mohammed Salman, pemerintah de facto berpengaruh negara itu yang mengawal aspek perkhidmatan keselamatan.

Kerajaan Turki mengesyaki Khashoggi, seorang penduduk tetap AS dan pengkritik tegar putera itu dibunuh dan dikerat kepada beberapa bahagian di dalam konsulat berkenaan oleh beberapa ejen Arab Saudi.

Erdogan hampir menyebut mengenai putera mahkota itu yang disyaki mengarahkan pembunuhan kolumnis akhbar Washington Post terbabit namun memutuskan untuk tidak berbuat demikian.

“Pentadbiran Arab Saudi telah mengambil langkah penting dengan membuat pengakuan pembunuhan berkenaan. Bermula saat ini kami menjangkakan mereka untuk mendedahkan siapa sebenarnya bertanggungjawab dalam perkara ini dari awal hingga akhir dan mengenakan hukuman yang sewajarnya,” katanya.

“Dari individu yang terbabit memberikan arahan hingga kepada melakukan pembunuhan, semuanya perlu bertanggungjawab,” katanya sambil menambah, Riyadh perlu mendedahkan semua individu terbabit,

Sumber kerajaan Turki memberitahu bahawa pihak berkuasa memiliki rakaman audio khas untuk mendokumentasi pembunuhan berkenaan namun Erdogan tidak menyebut mengenai sebarang rakaman audio.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :