SELANGOR

Turun 40kg, Afiq dinobat ‘Ikon Comey’

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANTING, 22 OKT: Kejayaan menurunkan berat badan sebanyak 40 kilogram dalam tempoh beberapa bulan melayakkan Muhammad Afiq Hashim dinobat sebagai ‘Ikon Comey’.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran di Pejabat Kesihatan Daerah Gombak itu berkata, beliau tidak menyangka langkahnya menurunkan berat badan melalui Program Penurunan Berat Badan anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mendapat pengiktirafan.

Katanya, tindakan itu dibuat ekoran masalah kolesterol dihadapi sejak enam bulan lalu.

“Atas sokongan keluarga termasuk rakan, akhirnya saya =berjaya menurunkan berat badan,” katanya kepada SelangorKini.

Pengiktirafan itu diberi pada Program Karnival Sihat Cergas dan Cantik Peringkat Selangor anjuran JKNS, Pejabat Kesihatan Kuala Langat dan Majlis Daerah Kuala Langa, di Pusat Latihan Penguat kuasaan Selangor (PULAPES) Jugra, semalam.

Selain bergelar Ikon Comey, Muhammad Afiq, 27, turut berjaya membawa pulang wang tunai RM500, trofi dan hadiah iringan.

Bercerita lanjut, beliau tidak mengamalkan pengambilan makanan tambahan untuk menurunkan berat badan, sebaliknya mengikuti jadual pemakanan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Saya tetap makan nasi, namun senaman tidak sesekali saya lupakan,” katanya.


Pengarang :