SELANGOR

Turun padang selesai masalah rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 24 OKT: Ahli Majlis yang baru dilantik di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini digesa turun padang meninjau masalah rakyat kawasan masing-masing.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awan dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, Kerajaan Negeri mahu mereka bekerja keras dan menjalin hubungan baik dengan masyarakat tanpa mengira kaum.

Malah, beliau mengingatkan pelantikan jawatan berkenaan bukan sebagai ‘political reward’ tetapi amanah dari kerajaan dan rakyat.

“Semua Ahli Majlis perlu memahami peranan masing-masing dengan menyeluruh dan dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Sebagai sebuah negeri yang maju, permintaan rakyat sudah tentu lebih tinggi berbanding negeri lain.

“Justeru, suara rakyat perlu didengar dan perlu mengetahui masalah rakyat dari akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Majlis Penutup Kursus Asas Ahli Majlis PBT 2018-2020 (Sesi 1) di Hotel Crystal Crown), di sini.

Sze Han berkata, pentadbiran Pakatan Harapan (Pakatan) turut menggariskan ketelusan pentadbiran bersih dan semua dikehendaki mengistiharkan kepentingan.

Katanya, ia bagi mengelakkan sebarang kepentingan tender dan ‘conflict of interest’.

Pada masa sama, Sze Han berkata, selain menjadi mata dan telinga kepada Kerajaan Negeri, Ahli Majlis perlu memanfaatkan platform media sosial dalam tugasan.

“Selaras dengan gagasan Smart State dalam semua urus tadbir, Ahli Majlis perlu memanfaatkan platform media sosial dalam setiap tugasan.

“Bukan sahaja hadir ke mesyuarat, Ahli Majlis perlu kerap turun padang, jika Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari kerap turun padang, kenapa tidak Ahli Majlis?.

“Amanah ini perlu dipikul dan tanggungjawab ini perlu digalas sebaiknya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penilaian prestasi akan dinilai dari masa ke masa bagi memastikan Ahli Majlis cemerlang dan profesional.


Pengarang :