AGAMASELANGOR

‘Ulama digital’ cabaran masa depan insitusi zakat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 10 OKT: Kewujudan ulama digital dalam kalangan pengguna media sosial antara cabaran masa depan yang dihadapi insitusi zakat.

Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor, Abdul Basith Hamid berkata, pihaknya kecewa apabila individu terbabit sesuka hati mengeluarkan hukum tanpa membuat pemeriksaan.

Katanya, tambah menyedihkan apabila ‘hukum dan fatwa’ dikeluarkan individu itu menjadi ikutan orang ramai.

“Paling ketara yang berlaku hari ini ialah apabila sesuatu isu tular di media sosial, ‘ulama’ ini cuba memburukkan institusi zakat dengan mengatakan tidak wajar mereka mengeluarkan zakat.

“Hasutan sebegini memburukkan agama kerana tuntutan menunaikan zakat adalah salah satu Rukun Islam,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas Muzakarah Zakat Kebangsaan kali kedua di Hotel Grand Bluewave, di sini, hari ini.

Abdul Basith berkata, pihaknya tidak mahu trend meragukan orang ramai melunaskan zakat semakin menjadi-jadi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Bayangkan jika dalam tempoh 20 atau 30 tahun akan datang, apabila sudah semakin tiada individu yang mengeluarkan zakat, apa akan jadi pada masyarakat kita?

“Sedangkan zakat membantu pembangunan negara dan masyarakat perlu faham, setiap institusi mempunyai kelemahannya tersendiri,” katanya.


Pengarang :