BERITA UTAMASELANGOR

UNISEL pilihan pertama Anwar selepas menang PRK

OLEH NADIAH ZAMLUS

BESTARI JAYA, 18 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih Universiti Selangor (UNISEL) sebagai lokasi pertama turun padang selepas secara rasmi bergelar Ahli Parlimen Port Dickson.

Presiden KEADILAN itu berkata, iUNISEL satu-satunya universiti yang pernah memberi ruang kepadanya untuk berucap, manakala kampus lain cuba ‘menutup’ ruang untuk orang sepertinya.

“Sekarang keadaan sudah berbeza, saya menerima begitu banyak jemputan daripada pelbagai kampus, namun apabila UNISEL mengutarakan jemputannya selepas saya bergelar Ahli Parlimen, saya terus bersetuju untuk hadir ke acara ini.

“Sebelum itu saya juga tertarik untuk ke Universiti Malaya, iaitu gelanggang saya serta tidak ketinggalan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia untuk menyampaikan ucaptama di sana, namun saya tetap memilih UNISEL kerana yakin dengan landasan matlamatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Program Temui Datuk Seri Anwar Ibrahim anjuran UNISEL dan Anwar Ibrahim Club (AIC) bertempat di UNISEL Kampus Bestari Jaya.

Turut hadir Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman serta hampir 3,000 mahasiswa universiti itu.

Pada 13 Oktober lalu, Anwar mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson dengan majoriti lebih besar sebanyak 23,560 undi.

 

 

 


Pengarang :