PENDIDIKANSELANGOR

UPM sasar kutipan RM10 juta menerusi APC, capai hasrat Sultan

OLEH SHEEDA FATHIL

SERDANG, 7 OKT: Universiti Putra Malaysia (UPM) mensasarkan kutipan RM10 juta melalui Alumni Passion And Compassion Initiatives (APC) pada Majlis Makan Malam Sirih Pulang Ke Gagang @ Homecoming kali ke-10 yang diadakan di Dewan Besar, di sini, semalam.

Ia bertujuan menambah dana bagi kempen sumbangan kebajikan pelajar seperti yang dihasratkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda yang juga selaku Tuanku Canselor UPM menitahkan sebagai usaha menyokong inisiatif tersebut, setiap alumni dikehendaki menyumbang sekurang-kurangnya RM10 sebulan.

Baginda bertitah, menerusi pencapaian yang dilakar oleh Persatuan Alumni UPM (PAUPM) dalam mengharumkan nama Universiti dan persatuan itu, baginda percaya PAUPM mampu untuk terus maju dan berjaya pada masa akan datang.

“Beta difahamkan PAUPM adalah alumni universiti yang paling aktif di Malaysia dengan menganjurkan beberapa siri seminar ke arah membangunkan sektor pertanian negara. Beta ingin melihat PAUPM menjadi contoh terbaik kepada persatuan-persatuan Alumni di Malaysia dan juga di rantau ini.

“Beta ingin mencadangkan supaya setiap ahli alumni yang kini berjumlah 108,390 orang menyumbang RM10 sebulan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Makan Malam Sirih Pulang Ke Gagang @ Homecoming ke-10, di sini, semalam.

Titah baginda, hal itu sekali gus dengan jumlah tersebut, persatuan boleh mengumpul dana tahunan lebih RM10 juta yang boleh digunakan untuk membantu PAUPM membiayai aktiviti dan program tahunan mereka.

“Mungkin agak sukar bagi yang baru meninggalkan universiti untuk menyumbang pada jumlah itu, namun beta yakin dalam tempoh tiga tahun selepas itu mereka akan mampu berbuat demikian untuk sama-sama menyokong kelangsungan persatuan alumni ini.

“Beta yakin sebuah persatuan alumni yang kukuh dan aktif akan menyumbang balik kepada universiti, bukan hanya daripada peningkatan imej serta perhubungan awam, tetapi berkemungkinan dapat menyumbang balik kepada UPM dalam bentuk biasiswa serta dana penyelidikan,” titah baginda.

 


Pengarang :