SELANGOR

Usahawan muda PROTune catat rekod jualan sebanyak RM2.62 juta

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 24 OKT: Usahawan muda yang dilahirkan melalui Program Tunas Niaga (PROTune) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya meraih rekod jualan sebanyak RM2.62 juta dalam tempoh tujuh bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof berkata, ia sekaligus membolehkan kesemua usahawan dari 49 buah sekolah berkenaan mencatatkan rekod keuntungan sebanyak RM645,307.

“Terdapat peningkatan keuntungan lebih RM30,000 jika dibandingkan dengan tahun lalu, tahniah diucapkan kepada semua syarikat PROTune 2018.

“PROTune telah memberi peluang kepada peserta untuk mengikuti bengkel dan seminar berkaitan dengan perjalanan syarikat, latihan keusahawanan dan menjalankan perniagaan produk masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Konvensyen PROTune Negeri Selangor anjuran PKNS dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Selangor (JPS) di Shah Alam Convention Centre (SACC), hari ini.

Program yang terdiri daripada 1,225 peserta itu turut disertai 98 guru bimbingan dari seluruh negeri.

Noraida berkata, PROTune diwujudkan bagi merancakkan industri keusahawanan dalam kalangan masyarakat tempatan melalui bidang pendidikan.

Katanya, pihaknya juga komited untuk menerapkan budaya keusahawan di kalangan generasi muda.

“Saya percaya budaya keusahawanan dapat membentuk keperibadian serta jati diri bangsa lebih dinamik.

“Anak muda termasuk pelajar yang memiliki semangat keusahawanan tinggi sudah pasti adalah seorang rajin, berdaya saing dan berani mencuba, malah tidak gentar berdepan dengan dugaan serta cabaran dalam kehidupan,” katanya.

Pada konvensyen yang sama, sebanyak 13 kategori dipertandingkan termasuk Kejohanan Hartawan Saidina 3x, Anugerah Perkhidmatan Terbaik, Produk Inovasi Terbaik, Laporan Kewangan Terbaik, Pengurus Terbaik, Guru Pembimbing Terbaik, Pengetua Terbaik dan Syarikat Terbaik.


Pengarang :