NASIONALPENDIDIKAN

Wajib pendidikan hingga menengah, elak kahwin muda

OLEH SHEEDA FATHIL

BESTARI JAYA, 12 OKT: Kerajaan komited mahu mempergiatkan usaha pendidikan sehingga ke peringkat menengah bagi mengelakkan terjadinya perkahwinan pada usia muda.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau menyokong usaha itu bagi mewajibkan setiap kanak-kanak menamatkan pendidikan menengah sekurang-kurangnya sehingga usia 17 tahun.

Beliau berkata, usaha itu merupakan pemangkin Kerajaan untuk menaikkan had usia minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi pasangan beragama Islam dan bukan Islam.

“Sebanyak 98 peratus daripada mereka berusia tujuh hingga 17 tahun adalah berdaftar dengan institusi persekolahan.

“Kerajaan prihatin dan ingin memastikan setiap kanak-kanak diberi peluang pendidikan, untuk hidup sihat, berjaya dan menikmati kegembiraan serta kesejahteraan dalam kehidupan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi ucaptama Majlis Penutupan Persidangan Kebangsaan Wanita dan Pembangunan Keluarga 2018 di Universiti Selangor (UNISEL), di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud; Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dan Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, golongan dewasa mempunyai peranan dan tanggungjawab melindungi kanak-kanak serta memastikan kebajikan, kesejahteraan, hak golongan itu terpelihara.

“Ibu bapa, penjaga, pendidik dan pemimpin masyarakat bertanggungjawab menyediakan ruang selamat serta sihat supaya kanak-kanak dapat membina keyakinan menjalani kehidupan juga memburu cita-cita.

“Hal ini sangat penting, untuk kita terus berusaha menggalakkan inklusiviti dalam meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak secara mampan sebagai suatu tanggungjawab kolektif kita,” katanya.


Pengarang :