SELANGOR

Yakin capai sasaran tambah Rumah Selangorku

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 OKT: Kerajaan Negeri yakin sasaran pembinaan 30,000 lagi Rumah Selangorku akan tercapai menjelang 2023.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bagi tujuan itu, sasaran 60 peratus adalah rumah di bawah harga RM200,000, manakala 40 peratus lagi berharga bawah RM250,000.

“Dasar Rumah Selangorku mula diperkenalkan pada 1 Januari 2014 dan ia sudah mencapai sasaran ditetapkan dalam mencapai objektif memperbanyakkan penyediaan rumah mampu milik lebih berkualiti serta selesa, pada harga antara RM42,000 hingga RM250,000 seunit.

“Namun, pada April 2018, kita memperkenalkan Dasar Rumah Selangorku 2.0 yang menyentuh beberapa penambahbaikan antaranya penurunan harga rumah khusus untuk rakyat Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Pembangunan Hartanah Harga Kawalan Negeri Selangor bertemakan ‘Satu Keluarga, Satu Kediaman Yang Sempurna’ yang dianjurkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini.

Hadir sama EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha dan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Sr Nazmi Osman.

Pada masa sama, beliau berharap pembentukan Kerajaan Persekutuan yang sealiran dengan Kerajaan Negeri serta kolaborasi pintar antara agensi kerajaan akan tercapai.

 


Pengarang :