AGAMASELANGOR

Zakat On Wheels di Tesco Extra Puchong sepanjang Oktober

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan Zakat On Wheels (ZOW) di Tesco Extra Puchong, sepanjang Oktober ini.

Lzs menerusi laman facebooknya berkata, kemudahan itu menyediakan segala perkhidmatan berkenaan zakat daripada segi kutipan dan agihan.

“Kepada yang berdekatan terutama yang mempunyai kekangan berurusan zakat di kaunter cawangan, anda boleh hadir ke sini berurusan dengan kami,” tulis kenyataan itu.

ZOW beroperasi dari jam 10 pagi hingga 3 petang dan akan dilanjutkan sehingga malam mengikut keperluan dan keadaan.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, boleh hubungi talian hotline 1-300-88-4343.

Sebagai institusi zakat yang memegang amanah, LZS terus komited menguruskan dan memanfaatkan potensi kutipan zakat serta memastikan pengagihan zakat yang dilaksanakan efisien, efektif dan berkesan selaras tuntutan syarak.

Dengan motto ‘Meneraju Perubahan’, LZS sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggannya iaitu pembayar dan penerima zakat.

Dalam tempoh dua dekad penubuhannya, LZS meningkatkan kecemerlangannya sebagai institusi zakat disegani dengan sentiasa mempergiatkan gerak kerja dakwah bagi memastikan lebih ramai masyarakat menunaikan rukun Islam itu.

Manakala, pengagihan zakat juga ditambah baik dengan menyeluruh dan berkesan kepada lapan asnaf yang ditetapkan dalam al-Quran melalui lima program pembangunan utama asnaf iaitu Program Pembangunan Sosial, Pendidikan, Ekonomi, Insan dan Pembangunan Institusi Agama.

Hari ini, LZS berdiri menjadi institusi zakat berwawasan dan mengamalkan pengurusan terbaik dalam menjana serta memartabatkan kecemerlangan bukan sahaja asnaf malahan ummah secara keseluruhannya.


Pengarang :