AGAMASELANGOR

Zakat Selangor lulus sumbangan RM60,000 buat keluarga anggota bomba

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengumumkan telahpun meluluskan sumbangan buat enam keluarga anggota bomba yang terkorban ketika menjalankan tugas penyelamatan di Puchong, 3 Oktober lalu.

Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid berkata, Bantuan Sara Hidup sebanyak RM10,000 akan diberikan kepada setiap keluarga mangsa.

Katanya, bantuan keseluruhan yang berjumlah RM60,000 itu akan disampaikan dalam masa terdekat.

“Kita prihatin dengan nasib keluarga wira negara yang syahid dalam kerja penyelamatan ini, jadi bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga akibat kehilangan sumber pendapatan utama, maka kita luluskan sumbangan ini.

“Kami juga mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan pada Majlis Serahan Sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit Hospital (TKPH) di Hospital Shah Alam, hari ini.

Sebelum ini, enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) lemas ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja di lombong Taman Putra Perdana, Puchong, selepas terbelit tali, akibat arus deras, yang datang tiba-tiba.

Keenam-enam anggota bomba berkenaan disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang berada di lokasi ketika operasi menyelamat diadakan.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, berita kematian keenam-enam anggota berkenaan sangat menginsafkan dan memberi makna yang mendalam pada maksud pengorbanan dalam tugas.

Beliau berkata berasaskan kepada nas hadis Riwayat al-Bukhari bermaksud orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.


Pengarang :