AGAMASELANGOR

Zawawi bawa rombongan ke Acheh selami erti keinsafan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 OKT: Kejadian tsunami yang berlaku di Acheh cukup menginsafkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni sehingga menarik minat beliau melawat kepulauan itu.

Mohd Zawawi berkata, beliau yang sudah ke sana lima kali turut pernah menyumbangkan tenaga menjadi sukarelawan selepas bencana itu melanda bumi Acheh, pada 2004.

“Kini selepas beberapa tahun, saya bawa rombongan ahli kariah Masjid An-Naim Jalan Kebun untuk Lawatan Kesedaran dan Keinsafan ke Acheh bagi membolehkan kesemua peserta rombongan belajar erti pengorbanan.

“Ini kerana apabila kita belajar erti pengorbanan barulah seseorang itu akan menghargai sesuatu, dan itulah tujuan rombongan ini dibuat,” katanya kepada SelangorKini.

Semua 25 peserta rombongan dibawa ke Muzium Tsunami Acheh, Makam Syeh Kuala- Abdul Rauf Singkil, Masjid Baiturrahman dan Makan Tentera Turki Uthmaniyah.

Pada masa sama, Mohd Zawawi turut mahu peserta rombongan yang dibawanya mendalami pengajaran hukum hudud yang dijalankan Acheh.

“Menariknya hukuman berkenaan turut disambut baik penduduk Acheh, dan saya mahu konsep tersebut difahami oleh semua anak-anak kariah Jalan Kebun.

“Satu lagi perkara menarik mengenai Acheh ialah penduduknya sentiasa mengajar kita supaya jangan sombong dan angkuh, pergi ke mana sahaja di setiap pelusuk kepulauan itu, kami sering mendengar nasihat yang sama,” katanya.


Pengarang :