EKONOMI SELANGOR

10 usahawan Selangor dipilih sertai Alibaba.com

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 NOV: Seramai 10 usahawan bumiputera Selangor ditawarkan tempat bagi menyertai sebuah syarikat gergasi e-dagang China, iaitu Alibaba.com, pada Disember ini.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, penyertaan menerusi salah satu jenama perniagaan dalam talian (Internet Business) terkemuka itu antara medium kukuh melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing yang mampu diketengahkan hingga ke peringkat global.

“Pada tahun ini, saya bersama Dato’ Teng Chang Khim (EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana) mengadakan lawatan ke luar negara bagi membincangkan secara jelas berhubung perkara ini.

“Hasil lawatan itu, kami mendapat kerjasama mantap daripada pihak pelabur China, khususnya Alibaba.com untuk memasukkan 10 usahawan Selangor menjalankan perniagaan dalam perkhidmatan ini.

“Beliau (Dato’ Teng) akan ke China untuk menandatangani kontrak tersebut, pada bulan hadapan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Jelajah Usahawan Selangor Daerah Petaling 2018, di Perkarangan Giant Supermarket Seksyen 18, di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah Petaling, Roslinah Md Jani dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Petaling, Hazrina Yusof.

Terdahulu, majlis turut menyaksikan seramai 38 usahawan dari daerah Petaling menerima cek pembiayaan Dana Usahawan Mikro dan Pembiayaan Hijrah Selangor.

Mengulas lanjut, Rodziah yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga berkata, keupayaan usahawan terbabit disenarai dalam perkhidmatan Alibaba.com itu turut membuktikan Selangor berjaya melepasi tahap piawaian ditetapkan.

Malah, katanya, ia suatu permulaan baik untuk membimbing usahawan daripada peringkat bawahan hingga ke SME, sekali gus menaikkan lebih ramai usahawan ke Alibaba.com.

“Jika dahulu, kita perlu bekerja keras untuk memasarkan atau menjual perniagaan, tetapi dengan hanya perniagaan dalam talian ini, terutama Alibab.com, sudah tentu ramai usahawan lain yang berebut untuk mendapatkannya,” katanya.


Pengarang :