Orang ramai mencuba perkhidmatan Wi-Fi Smart Selangor. Foto SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

1,143,855 pengguna berdaftar WiFi Smart Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 NOV: Pengguna Wifi Smart Selangor (WiFiSS) yang berdaftar kini mencecah 1,143,855 dalam tempoh tiga tahun sejak mula beroperasi September 2015.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri berpuas hati dengan prestasi perkhidmatan WiFiSS setakat ini.

Katanya, jaminan tahap perkhidmatan dalam lingkungan 95 peratus turut berada dalam julat yang dipersetujui.

“Bagaimanapun, prestasi perkhidmatan WiFiSS sentiasa dalam pemantauan dan usaha untuk mempertingkatkan kelajuan dan liputan WiFiSS sentiasa dijalankan bersama pihak pembekal,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin di Sidang Dewan Negeri, di sini.

Pada masa sama, Loy Sian berkata, terdapat 15 hotspot dalam kawasan DUN Permatang yang membabitkan dewan, Pusat Khidmat Rakyat, perpustakaan desa, surau, masjid, klinik dan lain-lain.

“Namun, usaha untuk memperluaskan kemudahan itu di Permatang masih tertakluk pada ketersediaan infrastruktur jaringan teras pihak pembekal ke kawasan sasaran.

“Dalam hal ini pihak pembekal masih belum mempunyai infrastruktur jaringan teras yang diperlukan untuk komunikasi jalur lebar yang berhampiran dengan kawasan itu,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 3,834 perkhidmatan jaringan WiFiSS diwujudkan, di sekitar negeri sejak dilaksanakan.

Kemudahan WiFiSS disasarkan kepada kawasan tumpuan awam dan kawasan penduduk berpendapatan rendah.

Pembangunan infrastruktur telekomunikasi melalui capaian jalur lebar (WiFi) di Selangor bakal diperluaskan dengan 4,000 ‘hotspot’ ke seluruh negeri, menjelang akhir tahun ini.

Pelaksanaan itu menjadi saksi kepada inisiatif Kerajaan Negeri bagi memastikan semua rakyat mendapat akses melalui capaian jalur lebar berkelajuan tinggi secara percuma, sekali gus merapatkan jurang digital di Selangor khususnya.


Pengarang :