ALAM SEKITAR & CUACASELANGOR

142 kawasan berisiko banjir, persiapan dipertingkat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 NOV: Kesemua agensi terlibat dalam Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Selangor sudah bersiap sedia bagi menghadapi musim monsun yang melanda negara sehingga Disember nanti.

Ketua Penolong Setiausaha, Unit Pengurusan Bencana (UPB) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, hal ini berikutan purata taburan hujan tinggi diterima mencecah 210mm hingga 320mm pada Oktober, 250mm-370mm pada November dan 200mm-300mm pada Disember.

“Kita telah mengenal pasti 142 kawasan yang membabitkan 225 kes banjir dan banjir kilat yang direkodkan di Selangor sebelum ini.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Pihak Berkuasa Keselamatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diarahkan supaya bersiap siaga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Mesyuarat Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Selangor & Musim Monsun Timur Laut Peringkat Negeri Selangor di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Ahmad Fairuz berkata, setakat ini kesemua 142 kawasan banjir terbabit merupakan kawasan berisiko kejadian banjir kilat.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 75 kawasan di bawah tindakan Jabatan Parit dan Saliran (JPS), 18 kawasan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR), 41 PBT dan satu lain-lain agensi.

Katanya lagi, kesemua agensi terbabit sudah diarahkan menjalankan tindakan di kawasan masing-masing bagi mengurangkan risiko banjir.


Pengarang :