NASIONAL

1,592 anggota KEADILAN Melaka undi semula esok

MELAKA, 10 NOV: Seramai 1,592 anggota KEADILAN bakal mengundi dalam pemilihan semula enam cabang parti itu, di negeri ini, esok.

Jawatankuasa Pemilihan Parti KEADILAN Melaka berkata, cabang Tangga Batu bakal mempunyai pengundi teramai dengan 638 orang diikuti cabang Jasin seramai 412 orang.

Katanya, cabang Masjid Tanah seramai 232 orang, Kota Melaka (180), Hang Tuah Jaya (66) dan Alor Gajah (64).

“Pengundian dilaksanakan di lima pusat pengundian (Masjid Tanah dan Alor Gajah sama pusat) dengan masa pengundian dari jam 10 pagi hingga 5 petang kecuali cabang Hang Tuah Jaya dari jam 10 pagi hingga 2 petang,” katanya dalam kenyataan kepada BERNAMA.

Pengundian cabang Masjid Tanah dan Alor Gajah akan diadakan di Kompleks Japerun Lendu; cabang Kota Melaka di Dewan Japerun Duyung; cabang Hang Tuah Jaya di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka, Bukit Piatu; cabang Jasin di Dewan MPJ Alamanda; dan cabang Tangga Batu di Dewan Japerun Sungai Udang.

Pengerusi JPP KEADILAN pusat, Datuk Rashid Din sebelum ini dilaporkan berkata, panel JPP sudah berbincang dan menetapkan pengundian semula, antaranya enam cabang di Melaka atas sebab kehilangan data pengundi, masalah teknikal dan gangguan telekomunikasi.

Pengundian semula itu hanya untuk anggota parti yang datang mengundi, pada 20 Oktober lalu sahaja.

 


Pengarang :