SELANGOR

1T1K 3.0 rapat jurang digital komuniti

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 NOV: Bagi mendedahkan ilmu perniagaan terkini membabitkan elektronik dagang, seramai 80 mahasiswa Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, menjayakan program ‘1 Telecenter 1 Komuniti (1T1K 3.0)’, bersama komuniti Seksyen 24, di sini, semalam.

Memasuki siri ketiga penganjuran, program berbentuk khidmat masyarakat itu diperhebat menerusi kerjasama Pejabat Jaringan Industri, Masyarakat, Alumni dan Keusahawanan (ICAN) dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Timbalan Dekan HEP FSKM, Dr Shaharudin Cik Soh berkata, program kesinambungan daripada 1T1K 2.0 itu sebagai inisiatif membantu menambah pendapatan penduduk, khususnya komuniti Seksyen 24, untuk memperkenal produk mereka kepada masyarakat luar dengan rangkaian elektronik dagang.

Katanya, pelaksanaannya turut membuka ruang dan peluang terbaik menerusi penyediaan platform ideal sebagai latihan praktikal, sekali gus merapatkan jurang digital penduduk yang kurang pendedahan dalam aspek berkenaan.

“Pelajar adalah satu komuniti yang datang daripada masyarakat berbilang kaum, berbeza latar belakang dan etnik, jadi penerapan nilai positif dalam diri mereka diperlukan untuk disumbangkan kepada masyarakat lain.

“Program yang amat bermanfaat ini memang perlu dibuat pada setiap semester kerana kita mahu memberi peluang kepada pelajar baharu mendapat pengalaman seperti ini, selain mengeratkan silaturahim juga membawa nama baik UiTM di mata masyarakat,” katanya.

Hadir sama, Pensyarah FSKM, Prof Dr Haryani Haron; Penasihat Program, Azhar Abd Aziz dan Nazir Masjid Al-Ehsan Seksyen 24, Badaruddin Dawam.

Difahamkan, program yang turut disertai seramai 13 komuniti itu lebih tertumpu kepada sesi ‘mini workshop’ berkaitan penggunaan Internet, Emel dan E-dagang

Sementara itu, Ketua Program 1T1K 3.0, Nur Iqmal Kamarudin berkata, pihaknya menampilkan sedikit kelainan berbanding penganjuran sebelum ini yang hanya memberikan kemudahan infrastruktur seperti komputer.

“Tetapi untuk kali ini, kami lebih memberikan mereka maklumat mengenai penggunaan komputer iaitu dengan mengajar menggunakan emel, internet, dan paling penting menggunakan e-dagang dalam talian.

“Modul yang diajar kepada mereka juga senang difahami, malahan mereka dapat melaksanakan tugas yang diberi seperti membuat email sendiri dan menggunakan e-dagang dalam talian,” katanya.


Pengarang :