NASIONAL

3 organisasi terima Anugerah Kualiti SIRIM

PUTRAJAYA, 16 NOV: Tiga organisasi berjaya meraih Anugerah Kualiti SIRIM 2018, pada Majlis SIRIM Industri, di Hotel Marriot, di sini, semalam.

Organisasi terbabit adalah Oversea Lighting & Electric (M) Sdn Bhd, Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Sime Darby Plantation Berhad.

Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin berkata, anugerah itu diberi kepada organisasi terbabit atas kejayaan mencapai tahap pengurusan kualiti dalam pelbagai sektor dan menepati standard kebangsaan serta antarabangsa.

“Organisasi berkenaan terbahagi kepada tiga kategori iaitu Perusahaan Kecil dan Sederhana, Kerajaan dan Syarikat Multinasional atau Syarikat Berkaitan Kerajaan.

“Pemenang dipilih berdasarkan amalan kualiti tinggi dalam organisasi menerusi produk atau perkhidmatan yang memberi kesan kepada pelbagai sektor,” katanya dalam ucapan.

Anugerah Kualiti SIRIM 2018 itu disampaikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming.

Majlis itu turut meraikan pelbagai industri dan agensi kerajaan yang menerima pensijilan dari SIRIM QAS International dalam tempoh November 2017 hingga Oktober 2018.

Sepanjang tempoh itu, lebih 300 organisasi berjaya memperoleh pensijilan di bawah Skim Pensijilan Sistem Pengurusan SIRIM QAS International, manakala lebih 650 produk mendapat pensijilan di bawah Skim Pensijilan Barangan.


Pengarang :