SUKANKINI

3 pasukan Liga Perdana lulus lesen kebangsaan 2019

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 NOV: Tiga daripada sembilan pasukan Liga Perdana yang memohon lesen kebangsaan, mendapat kelulusan bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Super 2019, jika layak.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM dipengerusikan Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, pada 14 November lalu.

“Felda United FC dan UITM FC lulus mendapatkan lesen kebangsaan, manakala MIFA juga berjaya tetapi dengan saksi.

“Sementara itu, enam pasukan lain iaitu Sabah FA, Sarawak FA, Felcra FC, UKM FC, PDRM FA dan Penang FA ditolak permohonan mereka untuk mendapatkan lesen kebangsaan kerana gagal menepati kriteria ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bagi membolehkan sesebuah pasukan diberikan lesen kebangsaan, mereka perlu melepasi penilaian ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan seperti termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018.

Bagi pasukan gagal, katanya, mereka diberikan surat pemakluman dan boleh merayu untuk mendapatkannya seperti dinyatakan dalam Artikel 3.4.2 Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018 yang mana rayuan mereka dijadualkan akan didengar dalam masa terdekat.

“Lesen Kebangsaan dikeluarkan sah untuk tempoh semusim sahaja iaitu bagi musim 2019 dan sepanjang musim berkenaan, jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018 atau mempunyai kes berkaitan dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), ia boleh ditarik balik.

“Harus diingatkan kelab tidak perlu lesen kebangssan untuk menyertai Liga Perdana musim 2019 namun kelab wajib memerlukan lesen kebangssan untuk menyertai Liga Perdana dari musim 2020 dan seterusnya,” katanya.

Katanya, FAM selaku pihak memberikan lesen mengucapkan tahniah kepada pasukan berjaya memperoleh lesen berkaitan dan selamat berjaya kepada mereka dinaikkan ke Liga Super musim 2019.


Pengarang :